Sunday, April 28, 2013

Pesta Buku PWTC vs Big Bad Wolf


Bagi para pencinta buku, ada 2 pesta buku yang perlu berada dalam senarai acara tahunan WAJIB PERGI; Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC dan Big Bad Wolf di MICC (The Mines). PBAKL lebih tertumpu kepada buku-buku berbahasa Melayu terbitan syarikat tempatan manakala Big Bad Wolf lebih terarah kepada buku-buku terbitan antarabangsa berbahasa Inggeris.

Diskaun Tinggi Untuk Buku Kurang Popular Di PBAKL
Selalunya, buku-buku yang dijual di PBAKL adalah kombinasi buku-buku lama dan buku baru. Syarikat penerbit lebih gemar memberikan diskaun 'gila-gila' pada buku-buku lama yang kurang mendapat sambutan sebelum ini berbanding buku baharu. Walaupun buku baharu masih diberikan diskaun, ia tidaklah mengatasi buku-buku lama yang tidak popular. Sebagai contoh, tahun lepas PTS pernah menjual buku-buku 'kurang popular' sehingga mencapai diskaun 50%! (Disclaimer: Buku tersebut mungkin tidak popular, tetapi ia tidak menjejaskan kualiti buku tersebut dimata saya)

PBAKL Banyak Judul Baharu Setiap Hari
Di PBAKL, setiap hari akan ada judul baharu yang dipromosikan. Kalau anda ingin tahu, syarikat penerbit buku selalunya akan membuat jadual seawal November/Disember untuk menerbitkan judul-judul sasaran bagi PBAKL yang berlangsung sekitar April. Manuskrip-manuskrip yang sudah disemak akan dihantar ke kilang percetakan bagi menunggu giliran untuk dicetak. Memandangkan PBAKL adalah medan terbaik untuk mempromosi buku baharu, para penerbit akan berusaha menerbitkan seberapa banyak judul baharu untuk tujuan memperkenal dan mempromosi buku tersebut di PBAKL. Maka tidak hairanlah setiap hari akan ada judul baharu yang baru sampai dari kilang percetakan untuk dijual di PBAKL.

Lagi Awal Pergi BBW, Lagi Banyak Judul Menarik
Berbeza di PBAKL, Big Bad Wolf tidak menawarkan judul-judul baharu setiap hari sebaliknya apa yang diletak pada hari pertama, itulah judul-judul yang akan dijual sehingga hari terakhir Big Bad Wolf tersebut. Ini menyebabkan orang ramai berebut-rebut untuk ke Big Bad Wolf seawal mungkin. Malah, lagi awal kita datang ke Big Bad Wolf pada hari pertama ia dibuka, lagi banyak peluang untuk kita dapatkan judul-judul menarik di Big Bad Wolf. Rakan saya, Azree Hanifiah berpeluang hadir ke pra-pembukaan Big Bad Wolf dan beliau berkesempatan untuk membeli banyak judul menarik pada waktu awal pembukaan. Bila saya pergi tiga hari selepas itu, judul tersebut sudah tiada!

BBW Dibuka 24 Jam Sehari
Disebabkan masalah lalu lintas dan keterbatasan masa, Big Bad Wolf telah mengambil inisiatif melanjutkan waktu operasi sehingga 24/7 selama 3 hari berturut-turut. Saya pernah ke Big bad Wolf pada jam 2 pagi untuk elakkan kesesakan lalu lintas di kawasan The Mines dan pada waktu itu ramai lagi orang yang seperti saya memilih untuk datang ke Big Bad Wolf pada waktu tersebut.


Diakui, kedua-dua pesta buku ini mempunyai keunikan tersendiri yang telah berjaya menarik jutaan pengunjung saban tahun ke pesta buku tersebut. Segala yang saya kongsikan dalam entri kali ini adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sepanjang beberapa tahun hadir ke PBAKL dan BBW. Mungkin anda ada pengalaman tersendiri untuk dikongsikan bersama saya, siapa tahu? :)

No comments:

Post a Comment