Sunday, May 26, 2013

Bisnes Perlu Kreatif


"Aku bercadang untuk buat bisnes tetapi aku tidak tahu nak buat bisnes apa"
"Kalau buat bisnes jual air, rasanya ramai orang buat bisnes jual air"
"Tunggu sahaja. Ada rezeki nanti, kayalah aku!"

Itulah kata-kata yang terpacul dari mulut kenalan saya ketika kami berborak berkaitan bisnes. Saya pun tidaklah begitu pandai dalam dunia bisnes. Cuma mungkin pengalaman lalu dan buku-buku motivasi bisnes yang acapkali saya baca membuatkan saya sentiasa bermotivasi untuk membuat bisnes. Saya pernah gagal dalam bisnes. Namun ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus maju ke hadapan.

Kenali Potensi Diri
Jika anda minat berniaga tapi tidak tahu nak berniaga apa, saya sarankan anda rehatkan diri anda seketika, ambil sebatang pen beserta sehelai kertas dan mula senaraikan kemahiran yang ada dalam diri anda. Kenali potensi anda. Kebanyakan usahawan yang berjaya mempunyai bisnes berdasarkan kemahiran atau potensi diri mereka sendiri.

Cikgu Abu Hassan Morad yang gemar menulis, mengusahakan bisnes penerbitan buku dan majalah dibawah syarikat penerbitan sendiri; Galeri Ilmu Sdn Bhd. Chef Ismail yang pakar dalam bidang masakan mempunyai Restoran Rebung yang dikongsi bersama Angkasawan Negara Pertama, Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Mulakan bisnes anda berdasarkan kepakaran anda. Ia lebih baik untuk jangka masa panjang kerana anda tidak akan mudah bosan dalam bisnes anda nanti.

If you love your job, there will be no single day you work in your life. 

Apabila anda menjalankan bisnes berdasarkan minat dan kepakaran anda, anda tidak akan mudah menyerah kalah dan akan sentiasa memperbaiki kemahiran anda hari demi hari. Semangat nak berbisnes pun tinggi sebab bisnes itu anda sendiri yang jalankan dan berdasarkan minat serta kepakaran anda! Bisnes itulah yang akan melambangkan diri anda!

Bisnes Dengan Kreatif, Pembeli Yang Mencari Kita. 
Jangan gusar jika bisnes yang anda mahu lakukan itu telahpun diceburi oleh ramai orang. Sebaliknya, anda kena tunjukkan kepada pembeli bahawa walaupun bisnes anda baru tetapi ia kreatif, menampilkan sesuatu yang unik dan berkualiti tinggi.

Lihat saja bisnes donat francise baharu, J.Co dan Big Apple. Biarpun perniagaan donat ini telah dipelopori oleh Dunkin Donut sejak sekian lama tetapi ia tidak menjadi alasan untuk J.Co dan Big Apple berputus asa untuk bersaing dengan jenama terkenal tersebut. Mereka tampil ke dunia perniagaan donat dengan keistimewaan dan inovasi tersendiri yang berjaya menarik perhatian peminat donut. Kini, jenama J.Co dan Big Apple mampu berdiri setanding jenama Dunkin Donut hasil inovatif dan kreatif mereka dalam bisnes donut. 

Terbaru, kita dapat lihat pembaharuan dalam bisnes burger yang kini menjadi fenomena. Kalau melihat kepada persaingan, ramai orang yang menjalankan bisnes burger. Apabila kreativiti disuntik dalam perniagaan, idea memberi sentuhan baru dalam perniagaan burger akhirnya menghasilkan fenomena baharu; burger bakar!

Keunikan dan kekreatifan inilah yang patut ada dalam setiap perniagaan yang anda akan buka. Zaman pun sudah canggih, bisnes anda pun mestilah selari dengan peredaran zaman. Kalau mahu buat bisnes lama sekalipun, berilah nafas baru!

Akhir sekali, ingatlah wahai pembaca sekalian, janganlah hanya mengharapkan rezeki datang bergolek-golek didepan mata anda dengan sendirinya. Usahalah untuk mendapatkannya. Allah sudah beritahu awal-awal dalam Kitab Agungnya, Al-Quran mafhumnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri yang mengubahnya!

Tunggu apa lagi? Mulakan sekarang! :)

No comments:

Post a Comment