Saturday, May 25, 2013

Pengalaman Pertama Berniaga: Jual Petai, Dapat BMX


Sejak dari kecil lagi, mama mengajar saya bahawa kalau mahukan sesuatu, usaha dahulu untuk mendapatkannya. Duit tidak akan datang dari langit. Perkara ini mengingatkan saya kepada pengalaman pertama kali saya berniaga.

Sewaktu saya darjah 2, saya pergi ke sekolah dengan menaiki basikal. Maklumlah, sekolah agak dekat dengan rumah dan ramai kawan saya yang ke sekolah berbasikal. Jadi seperti 'trend' pula pada waktu itu pergi ke sekolah dengan berbasikal. Saya pun tunggang basikal saya buat kali pertama ke sekolah. Sampai sahaja di sekolah, saya dicemuh kawan-kawan gara-gara membawa 'basikal perempuan'. (Basikal perempuan merujuk kepada basikal yang mempunyai raga di depan) Punya la malu saya bukan kepalang. Saya lihat semua kawan saya memakai basikal BMX.

Balik sahaja ke rumah, saya terus pergi ke dapur jumpa mama.

"Along tak nak bawa basikal tu esok. Kawan along semua ejek along pondan sebab bawa basikal perempuan".

Mama senyum dan berkata, "Basikal itu 'second hand' punya. Bawa sahaja. Cukup masa nanti, belilah basikal baru".

Saya menarik muka masam kepada mama. Dalam hati, rasa gelisah menanti hari esok.

Esoknya, seperti biasa kata-kata pedas itu menusuk telinga saya. Malah lebih tajam dari semalam hinggakan saya rasa nak tumbuk seorang demi seorang. Tetapi babah pernah berpesan supaya jangan bergaduh di sekolah. Jadi saya tahan marah dan diamkan sahaja.

Petai Seringgit, Petai Seringgit!
Apabila pulang dari sekolah, saya lihat berpapan-papan petai terlonggok di ruang tamu. Mama sedang ikat petai-petai tersebut menjadi beberapa ikat.

"Pergi salin baju. Kalau along nak basikal BMX, pergi jual petai ini seringgit satu", kata mama.

"Apa? Jual petai!!! Malu la along mama", jawab saya.

Tetapi disebabkan keinginan mahu menukar basikal itu terlalu membara, maka saya kuatkan diri. Dengan langkah yang longlai, saya bawa petai-petai tersebut keliling kampung. Bergerak dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain. Mula-mula rasa malu. Namun, bila seikat demi seikat mula terjual, perasaan malu bertukar gembira. Rasa seronok pula berniaga. Saya pulang semula ke rumah dengan membawa hasil. Petai? habis semua terjual!

Jual Petai, Dapat BMX
Esoknya saya jual pisang goreng yang digoreng mama. Lusa, jual air soya panas. (Mama memang pandai memasak dan berkebolehan melakukan pelbagai perkara walaupun beliau seorang jururawat). Sedar tak sedar, pada suatu petang, ketika saya pulang dari sekolah, saya lihat ada sebuah basikal BMX di halaman rumah saya. Apa lagi, menjerit tak terkata. Seronok!

Ajar Anak Asas Berniaga
Itulah pengalaman pertama saya berniaga; jual petai! Dari situ, saya belajar, bukan mudah untuk kita dapatkan sesuatu. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Jangan hanya pandai meminta. Babah dan mama saya sebenarnya mampu belikan basikal BMX untuk saya tetapi mereka tidak sewenang-wenangnya membelikan basikal itu kerana mereka mahu saya belajar asas kehidupan.

Melalui pengalaman ini, saya belajar
  • Berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu lebih baik daripada meminta-minta 
  • Menghargai nilai wang walaupun RM1.00 
  • Pecahkan tembok penghalang dalam diri untuk berbisnes; perasaan malu. 

Atas ajaran pertama inilah saya bina semangat untuk terus berniaga hinggalah sekarang. Kalau ikut bahasa kampung, kita panggil berniaga. Tetapi kalau nak 'kelas' sikit, sebut bisnes! hehe.

Mama dan Babah adalah guru yang terbaik! Terima kasih mama! Terima kasih babah!
:)

No comments:

Post a Comment